Buku Sastera ( Sastera Melayu Islam Konsep Teori Dan Aplikasi)

 

Sastera Melayu Islam: Konsep, Teori dan Aplikasi memuatkan perbincangan merangkumi sejarah, perkembangan, analisis, bentuk dan kandungan teks sastera Islam, yang disertakan dengan contoh karya daripada penulis terpilih dan disokong dengan teori sastera tempatan. Buku ini turut menyampaikan aspek penting berkaitan Islam, iaitu akidah, tauhid, syariat dan amal ibadah serta tasawuf yang terdapat dalam karya Kesusasteraan Melayu, khususnya genre puisi. Melalui buku ini, pembaca dipaparkan dengan kajian kes yang melibatkan teks bukan sahaja dari Malaysia tetapi Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam. Rangkuman analisis karya dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam dapat meluaskan skop pasaran sekali gus menjadikan buku ini sebagai dokumentasi yang berguna untuk rujukan dan penyelidikan pada masa akan datang.

Kelahiran teori kritikan sastera daripada perspektif Melayu dan Islam di Malaysia pada tahun 1980-an disebabkan para sarjana Melayu berpendapat wujudnya kelemahan dan kekurangan dalam teori dan pengkaedahan kritikan Barat, di samping ketidaksesuaiannya dalam mengkaji, meneliti, dan menganalisis teks karya sastera Melayu. Menurut para Sarjana Melayu seperti Hashim Awang, Ismail Hussein dan Mana Sikana, sastera Melayu yang memiliki ciri-ciri keunikan dan kesignifikannya yang tersendiri yang memerlukan pengkaedahan kritikan Barat yang bersifat berat sebelah, tidak menyeluruh dan statik serta abstrak menimbulkan kekecewaan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan para sarjana Melayu apabila digunakan dalam pengkajian sastera Melayu khususnya sastera tradisional.

Oleh itu, beberapa usaha telah difikirkan dan dilaksanakan demi membentuk suatu pengkaedahan yang bersifat asli dan tempatan dengan mengutarakan nilai keperibadian Melayu yang indah, kreatif dan padat dengan falsafah pemikiranya. Sebagai hasilnya, telah lahir sebuah buku kritikan sastera oleh Mana Sikana dengan kritikan sastera: pendekatan dan Kaedah pada tahun 1986. Seterusnya, pada November 1989, iaitu dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu kali kedua yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor telah diperkenalkan satu pendekatan yang dikenali sebagai Pengkaedahan Melayu untuk digunakan dalam menganalisis karya sastera Melayu sama ada tradisional mahupun yang moden. Pendekatan ini telah diperkenalkan oleh Hashim Awang dari Universiti Malaya.

Pengkaedahan Melayu ini dikemukakan dengan berdasarkan cara sikap hidup, kepercayaan dan kebudayaan masyarakat setempat, iaitu masyarakat Melayu yang melahirkan karya sasteranya sendiri. Pengkaedahan Melayu ini dibahagikan kepada dua, iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Kedua-duanya menurut Hashim Awang adalah dengan saling berkaitan dan tidak terpisah antara satu dengan yang lain.


Comments

Popular posts from this blog

Sajak Rindu Yang Tak Bertepi

Komentar Berkaitan Kursus BBK 3410 Penglahiran Bakat Kreatif

Sajak: Kehidupan Norma Baharu