Pengarang Sastera ( Baha Zain- Sasterawan Negara ke-12 (2013) dipetik dari DBP)

 


Baha Zain dilahirkan di Batu 15, Hutan Melintang Perak,  pada 22 Mei 1939. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sabak Bernam Selangor hingga tamat darjah empat pada tahun 1949. Ketika berumur 11 tahun, anak bongsu ini meninggalkan kampungnya untuk memasuki Anglo Chinese School, Teluk Anson hingga tahun 1957 dan lulus Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan. Kemudian, beliau belajar di Sekolah Anderson, Ipoh dalam Tingkatan Enam. Seterusnya, beliau memasuki Universiti Malaya pada tahun 1960 dan lulus Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963.

Setelah menamatkan pengajian, Baha Zain bertugas di Bahagian Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Penolong Pegawai Penyelidik mulai Julai 1963. Sebelum itu, beliau pernah bekerja sementara di Dewan Bahasa dan Pustaka sewaktu cuti panjang universitinya. Kemudian pada tahun 1966, beliau berpindah ke Bahagian Perkamusan sebagai Penolong Ketua Bahagian bagi membantu penyusunan Kamus Dewan. Setelah itu, beliau mendapat cuti untuk belajar di Fakulti Sastera, Universitas Indonesia dalam satu program belajar peringkat sarjana. Tumpuan minatnya sewaktu di fakulti ini adalah dalam bidang Kesusasteraan moden dan tesisnya membicarakan novel-novel Indonesia yang terbaharu di bawah bimbingan H.B Jasin.

Sekembalinya ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Baha Zain bertugas sebagai ketua cawangan di Bahagian Pengembangan Sastera. Sebagai ketua Bahagian, Baha Zain juga menjadi Ketua Pengarang pada majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya, anggota sidang pengarang Jurnal Tenggara dan pernah menjadi pengarang Dewan Bahasa. Mulai tahun 1982, Baha Zain dilantik menjadi Timbalan Ketua Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1984, beliau meletakkan jawatan berkecimpung dalam dunia Perniagaan. Pada 1985, beliau menerbitkan majalah berita mingguan Era di Subang Jaya Selangor. Mulai tahun 1994, Baha Zain menjadi Pengerusi Eksekutif Dasar Padu M Sendirian Berhad. sebuah syarikat Penerbitan  di samping di samping mengendalikan Pustaka Cipta, syarikat Penerbitannya sendiri sejak tahun 1995.

Kepakaran dan pemikiran Baha Zain yang cemerlang sentiasa diperlukan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak kerajaan. Baha Zain dilantik sebagai ahli Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak tahun 1986. Sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam bidang Penerbitan Buku, Baha Zain pernah dipilih sebagi Presiden, Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (1989-1994). Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia pada tahun (1985-1991) dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Terjemahan Negara Malaysia pada beberapa tahun (1993-2009). Selain itu, Baha Zain pernah menjadi anggota Majlis Perkembangan Buku Kebangsaan (1986-1994), juga pernah menganggotai Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Kebangsan, Malaysia (1984-1997). Baha Zain juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1992, 2002-2005 dan 2005-2008)

Comments

Popular posts from this blog

Sajak Rindu Yang Tak Bertepi

Komentar Berkaitan Kursus BBK 3410 Penglahiran Bakat Kreatif

Sajak: Kehidupan Norma Baharu