Kritikan Terhadap Filem ( Seniman Bujang Lapok)

 



        Berdasarkan tontonan yang dilakukan kepada filem ini. Pengkaji merasakan bahawa Seniman Bujang Lapok masih mengikut jejak langkah filem-filem yang berkait dengan Bujang Lapok iaitu daripada segi jenaka, sindiran dan gelagat yang diberikan terhdap filem ini. Banyak perkara yang ditoljolkan dalam filem ini yang bukan sahaja dalam masyarakat dunia filem-filem Melayu khususnya juga manusia yang duduk di rumah sewa mempunyai pelbagai ragam dan kerenah.

             Dari segi persembahan, filem ini tetap melucukan kepada khalayak ramai. Peranan pelakon-pelakonya juga tidak mengecewakan kepada semua orang. P. Ramlee, Aziz dan Sudin ketika berada di tempat penggambaran ketika Ahmad Nisfu mengarah dengan bintang undanganya Hashimah Yon dan S. Kadarisman dibuat dengan begitu lucu sekali. Peristiwa-peristiwa di rumah sewa di mana Mohd Rafee terkejut apabila motorsikalnya terbang ke atas bumbung, dan ketika H.M. Busra diikat oleh P. Ramlee, Aziz dan Sudin kerana memekakkan telinga dengan tiupan trumpetnya juga sangat melucukan. Pedek kata, setiap adegan yang dikemukan oleh P.Ramlee pasti membuat kita sebagai penonton gelak ketawa kerana kelucuannya. Dapat dikatakan bahawa lawak jenaka yang ada di dalam filem ini masih boleh diingati dalam fikiran para penonton.

               Pengkaji turut merasakan bahawa P. Ramlee sering mengaitkan setiap babak-babak di dalam filemnya dengan baik dan hal tersebut menampakkan satu jalinan yang kemas dan menarik antara satu babak dengan babak yang lain. Sebagai contohnya, semasa insiden jiran-jiran Bujang Lapok yang bising di tengah-tengah malam. Pertamanya selepas Bujang Lapok menyelesaikan masalah pergaduhan suami isteri, kelihatan watak seorang lelaki berbadan besar, lakonan H.M Busra memasuki bilik Fatimah, watak isteri kedua dalam pergaduhan tadi. H.M. Busra mengakui dia tersalah bilik. Selepas babak itu, jalan cerita beralih ke babak lelaki yang membuat bising menggunakan motorsikalnya. Selepas itu kita kembali ke babak H.M. Busra bermain trompet dan membuat bising sehingga dikerjakan oleh Bujang Lapok. Usai mengerjakan H.M. Busra , Aziz menegur lelaki motorsikal tadi yang sedang berusaha gigih menurunkan motorsikalnya menggunakan galah. Di situ P. Ramlee mejalinkan babak berkenaan secara berselang seli. Walaupun ditoljolkan H.M Busra dahulu, tetapi lelaki motorsikal berkenaan dan selepas lelaki motorsikal kembali ke lelaki berbadan besar dan penutupnya kembali ke lelaki motorsikal itu tadi.

                Di dalam filem ini juga, pengkaji mendapati terdapat unsur-unsur perpaduan yang diterapkan melalui perhubungan erat dan pertalian persaudaraan di antara masyarakat Melayu dan kaum lain. Hal ini dapat dibuktikan terdapatnya pembabitan dan penyertaan kaum India, Cina, Sikh dan lain-lain. Setelah itu, pemikiran yang optimis dan kreatif dalam menyelesaikan masalah semua kaum juga dapat dikesan melalui Seniman Bujang Lapok ini. Sebagai contoh, Ramlee dapat menyelesaikan perbalahan di antara suami isteri berketurunan India yang bergaduh di waktu tengah malam disebabkan masalah remeh iaitu siapa yang patut membersihkan najis anak mereka. Malah, semangat kejiranan turut diterapkan melalui kerjasama apabila rumah sewa mereka telah dibakar oleh Sharif Dol, mereka bersama-sama membantu memadam kebakaran itu dan menangkap pelakunya.Hal tesebut jelas merupakan kekuatan yang ditoljolkan yang terdapat pada filem Seniman Bujang Lapok.

              Bagi kritikan, pengkaji ingin memfokuskan kepada beberapa babak. Yang pertama ialah babak di mana P. Ramlee mahu berkahwin dengan Salmah namun P. Ramlee tiada wang yang cukup. Salmah mempelawa untuk menggunakan wangnya dan P. Ramlee terus bersetuju. melalui babak ini, kritikan yang ingin dilakukan adalah dengan kritikan sosial di mana P. Ramlee seharusnya bekerjaya iaitu seorang pelakon dan seniman. Beliau sewajarnya mempunyai gaji dan mendapat bayaran yang lumayan. Namun, beliau gagal untuk menyimpan wangnya. Situasi ini biasa terjadi sejak zaman dahulu lagi dan ia merupakan satu pertalian atau sindiran bagi masyarakat terutama kaum lelaki. Hal ini dimana terdapat lelaki yang seolah-olah mengambil kesempatan terhadap perempuan dengan menggunakan wang, walaupun ia ditawarkan, namun seharusnya lelaki menolak perlawaannya.

               Secara keseluruhannya, filem ini merupakan sebuah filem komedi yang baik. Filem ini mempunyai unsur teguran secara humor kepada penontonnya. Ianya terpulanglah kepada setiap individu untuk mentafsirkannya. Filem ini adalah dengan salah satunya dari siri bujang lapok arahan P. Ramlee yang bijak memikat hati untuk menonton berulang kali sehinggakan mampu dikatakan setiap dialog lakonan telah dihafal  serta dapat diikuti oleh penonton akan tetapi ia tetap memberi kesan jenaka yang mengakibatkan penontonnya ketawa berdekah-dekah. Meskipun filem ini sudah berusia hampir 40 tahun, ia tetap memberi impak yang besar kepada setiap genap lapisan masyarakat kerana pendekatan yang digunakan oleh P. Ramlee adalah dengan sungguh dekat di hati dan norma masyarakat Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

Komentar Berkaitan Kursus BBK 3410 Penglahiran Bakat Kreatif

Sajak Rindu Yang Tak Bertepi

Sajak: Kehidupan Norma Baharu