Tokoh Agama (Tok Ku Paloh al Aldrus)

 



Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus merupakan seorang tokoh ulama berketurunan Sayyid yang berpengaruh di Terengganu dan Patani. Beliau dilahirkan pada tahun 1233 Hijrah bersamaan tahun 1817 Masihi di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Beliau menerima pendidikan awal pengajian ilmu-ilmu agama daripada bapanya, Sayyid Muhammad al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar, seorang tokoh ulama yang berpengaruh dalam hal ehwal agama Islam di negeri Terengganu.

Tok Ku Paloh kemudiannya melanjutkan pengajian agamanya di Makkah dan berguru dengan ramai ulama. Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu , beliau memusatkan aktiviti pengajaran agamanya di Kampung Paloh, Terengganu. Antara anak muridnya ialah tokoh-tokoh ulama pejuang tanah air seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan Tok Jangggut, malah baginda Sultan Terengganu sendiri ketika itu iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beliau begitu berpengaruh dalam kerajaan Terengganu sehingga dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Terengganu. Di bawah pentadbiran beliau, Kampung Paloh ditadbir mengikut undang-undang Syariah.

Tok Ku Paloh juga seorang tokoh ulama pejuang tanah air. Sepanjang hayatnya, pihak Inggeris tidak berjaya mencampuri urusan pemeritntahan negeri Terengganu sepertimana yang telah terjadi di negeri-negeri Tanah Melayu yang lain ketika itu. Hanya selepas beliau meninggal dunia dan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III setahun selepas itu, barulah pihak Inggeris berjaya mencampuri urusan pemerintahan negeri Terengganu (1919).

Tok Ku Paloh juga pernah membantu pejuang-pejuang Pahang iaitu Dato'Bahaman Tok Gajah dan anaknya, Mat Kilau berlindung daripada pihak Inggeris, walaupun beliau menerima tekanan hebat daripada delegasi Inggeris dari Pahang yang diketuai oleh Hugh Clifford. Selain seorang pejuang agama, bangsa dan tanah air. Beliau juga seorang pengamal tariqat Naqsyabandiyyah. Beliau meninggalkan beberapa penulisan berharga terutamanya karyanya berkenaan akidah dan tasawwuf yang bertajuk ma'arif al-Lahfan li-at-Taraqqi ila Haqaiq al-Irfan.

Comments

Popular posts from this blog

Komentar Berkaitan Kursus BBK 3410 Penglahiran Bakat Kreatif

Sajak Rindu Yang Tak Bertepi

Sajak: Kehidupan Norma Baharu