Warisan Budaya (Dipetik Dari DBP)

 


Malaysia mempunyai latar belakang zaman silam yang menarik, sekali gus merupakan laluan dagangan antarabangsa suatu ketka dahulu, yang mempunyai pelbagai budaya di dalamnya. Perkara ini memaparkan keunikan budaya masyarakatnya yang mempunyai pelbagai pengaruh, tidak salah jika Malaysia digelar sebagai 'kampus' warisan budaya.

Warisan budaya harus dikekalkan kerana perkara itu boleh melambangkan dan mencerminkan identiti sesebuah negara dan bangsa. Tamadun sesuatu bangsa biasanya dapat dilihat pada warisan seni budayanya yang mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara seperti pakaian, makanan, adat resam, seni dan sebagainya.

Warisan budaya juga perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun. Melalui warisan budaya. kita akan mengetahui asal usul kita. Jatuh bangun susur galur kita yang terdahulu dapat dijadikan pengajaran untuk masyarakat pada masa ini. Misalnya, tarian Portugis yang dipersembahkan di tempat-tempat pelancongan, mengingatkan kita bahawa negara kita pernah ditakluki oleh Portugis. Selain itu, persembahan teater tradisional yang sering memainkan cerita-cerita bangsawan yang berlatarkan tentang Kesultanan Melayu Melaka dan kejatuhannya, banyak memberikan pengajaran kepada masyarakat.

Amalan warisan budaya melambangkan sikap majmuk masyarakatnya misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Pemakainya juga tidak merujuk kepada sesuatu bangsa sahaja. Tiga kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India bebas memakai pakaian tradisional bangsa lain. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat di Malaysia bersatu hati dan sangat menghormati cara pemikiran, budaya, dan agama sesama mereka.

Melalui warisan budaya juga, perkara ini dapat memupuk perpaduan antara rakyat. Rakyat majmuk di Malaysia kaya dengan nilai-nilai murni. Sebagai contoh, mereka saling menghormati, bersopan santun, saling mengunjungi dan sebagainya. Jika dilihat pada hari perayaan, tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam masyarakat majmuk Malaysia pasti akan bersama-sama berkumpul untuk meraikannya. Mereka saling mengunjungi, bertukar juadah, ada juga saling menerima dan memberi. Hal ini boleh mendedahkan mereka dengan budaya serta adat-adat masyarakat serumpun. Secara tidak langsung, semangat kekitaan dapat dipupuk dan mengeratkan hubungan silaturahim.

Makanan tradisi juga mampu mengetengahkan warisan budaya Malaysia melalui pelbagai jenis makanan seperti nasi lemak, lemang, kuih-muih tradisional, roti canai, muruku, putu mayam, kuih bakul, Zong zi, kuih bulan dan bermacam-macam makanan lagi. Tanpa kita sedar, kepelbagaian masakan dan makanan ini, mampu menyatukan masyarakat dan mencerminkan kebudayaan setiap nusa dan  bangsa.

Kesimpulannya, budaya warisan seharusnya dikekalkan bagi mengelakkan warisan budaya sesebuah bangsa itu pupus ditelan zaman. Hal ini dikatakan demikian kerana budaya ini merupakan warisan daripada nenek moyang kita yang harus dijaga sebaik-baiknya agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang. Semua pihak haruslah memainkan peranan penting dalam menjaga dan menjadikan warisan budaya sebagai satu identiti kaum, negara dan maruah bangsa.

Comments

Popular posts from this blog

Sajak Rindu Yang Tak Bertepi

Komentar Berkaitan Kursus BBK 3410 Penglahiran Bakat Kreatif

Sajak: Kehidupan Norma Baharu